tuninghead

Panduan asas tune gitar : Cara yang mudah dan susah

Di bawah ini adalah contoh soalan dari mereka yang mula berjinak-jinak dengan alam pergitaran;

- Macam mana nak tuning gitar?
- Ada tak cara mudah tune gitar kapok?
- Kenapa tune bunyi sumbang dan sengal?
- Nak tune gitar tapi takut tali putus
- Bagaimana nak tahu tuning gitar tu betul atau tak?

Aku dah cuba cari artikel dalam bahasa Melayu berkenaan topic ini. Ada, tapi tak cukup lengkap. Ada yang separuh jalan, ada yang terlalu ringkas sampai susah nak faham. Berpuluh-puluh komen dari pelawat Zairul.com bertanya cara untuk tune gitar. So untuk memudahkan para beginner dan memudahkan aku daripada menjawab soalan untuk setiap email yang datang, aku harap dengan adanya tutorial atau panduan asas tuning gitar ini dapat membantu semua.

Sebelum belajar asas tuning, aku syorkan baca artikel Asas Muzik terlebih dahulu, terutama sekali jika anda langsung tidak ada pengetahuan asas dalam muzik. Kalau memang sudah kenal dengan konsep turutan tone Do-Re-Mi.. atau C-D-E.., boleh membezakan antara not atau kod # (baca=SHARP) dan b (baca=FLAT), anda boleh sambung terus baca artikel ini.

Alat yand diperlukan.

Sebagai permulaan, adalah lebih mudah jika ada tuner sebagai bantuan. Tuner ada dalam pelbagai bentuk, elektronik dan bukan elektronik seperti piano, pitch pipe, tuning fork atau guitar tuner itu sendiri. Dibawah ini adalah beberapa contoh guitar tuner yang ada di pasaran.

   

  1. Qwik Tune QT1 – Tuner gitar mudah, ada fungsi tuning auto dan manual, menangkap bunyi dari pikap terus melalui kabel jack atau melalui mic yang ada pada tuner untuk tune gitar akustik.
  2. Korg Guitar/Bass Tuner GA-30 – Selain fungsi yang ada pada QT1, tuner ini boleh diguna untuk julat frekuensi gitar dan bass.
  3. Boss TU-3 Chromatic Pedal Tuner – Seperti tuner biasa tuner boss sering dipakai oleh musician amatur dan professional, dipasang antara gitar elektrik dan amp atau effect lain, semasa ingin tune gitar sahaja pedal dimatikan, dengan cara ini signal dari gitar hanya akan dibaca oleh tuner dan tidak keluar pada amp tanpa perlu cabut kabel jack – sesuai jika ingin membetulkan tuning gitar semasa live gig.

Tuning fork juga digunakan sebagai alat panduan untuk tuning gitar, hanya diguna oleh sebilangan pemain gitar akustik dan klasik. Ia dijual dalam beberapa frekuensi, kebiasaannya 440Hz (Tuning=A), dijadikan panduan bunyi untuk tune semua tali gitar – Pemain gitar yang sudah biasa boleh tune gitar dengan hanya berpandukan pada satu bunyi asas.

Aku tidak meletakkan harga pada contoh di atas kerana tuner gitar bukan barangan kawalan. Harga berubah mengikut tempat dan gambar di atas juga mungkin bukan produk terkini atau mungkin sudah tidak dijual pada masa anda membaca artikel ini. Ia cuma memberi idea apa contoh tuner yang ada.

Bagi pengguna iPhone/iPad dan Android, aplikasi guitar tuner percuma dan berbayar boleh didapati pada Appstore atau Android Market (Pengguna android boleh merujuk kepada artikel bertajuk 3 aplikasi android percuma terbaik untuk pemain gitar tegar untuk maklumat aplikasi tune gitar).

Blackberry juga ada menyediakan aplikasi berbayar di App World. Walaupun aplikasi untuk smartphones ini hanya terhad kepada penggunaan mic dan bukan terus dari kabel, tidak ada beza yang ketara jika dibandingkan dengan penggunaan tuner khas gitar seperti dalam contoh di atas.

Jika anda tiada smartphone atau tidak mahu membeli guitar tuner, ada boleh rujuk kepada beberapa website yang menyediakan aplikasi tuner gitar secara percuma. Aku berikan beberapa contoh di bawah ini, dan sila maklum bahawa pautan laman web berkenaan mungkin tidak dapat diakses atau sudah bertukar alamat semasa anda membaca artikel ini.

Zairul.com tiada sebarang hubungan affiliate dengan website di atas.

Asas dan teknik tuning gitar.

Cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan guitar tuner. Tuning standard untuk gitar adalah E-A-D-G-B-E dari tali #6 hingga ke tali #1. Mulakan dengan memetik tali #6 tanpa tekan mana-mana fret dan bandingkan bunyi dengan level/nilai pada tuner sehingga jadi not E. Ulang cara yang sama untuk semua tali. Tiada fret yang perlu ditekan untuk method tuning cara ini.

Perlu diambil perhatian bahawa proses tuning gitar selalunya dilakukan berulang kali sehingga mencapai bunyi yang tepat. Tegangan tali yang semakin kuat semasa tuning akan menyebabkan neck gitar membengkok pada kadar yang sedikit tetapi cukup untuk membuatkan tuning kembali lari (out-of-tune). Masalah ini juga berlaku sekiranya tali baru ditukar. Yang penting ulang cara di atas sehingga tune kekal.

Turutan tali mana yang ingin ditune itu bergantung kepada kegemaran masing-masing. Secara peribadi aku lebih suka tune dari tali #5.

*Tanda bulatan pada nut menunjukkan not sekiranya tali dipetik dengan open string (tanpa tekan fret)
*Tanda bulatan pada fret menunjukkan not sekiranya tali dipetik setelah menekan fret berkenaan. 

Perhatikan gambarajah di atas, not pada fret ke-5 tali #6 adalah sama dengan tali #5 open iaitu A. Not pada fret ke-5 tali #5 pula sama dengan tali #4 open iaitu D dan seterusnya. Method tuning cara ini boleh dilakukan sekiranya anda sudah ada bunyi asas (sebagai contoh:E). Dengan adanya not asas, tune sambil menekan fret seperti rajah untuk mendapatkan tuning not pada tali yang seterusnya. Perhatian perlu diambil pada tali #2 (not B), iaitu bunyi yang sama adalah dari fret ke-4 pada tali #3. Petik tali #1 dan #6 pada masa yang sama dan ini akan menghasilkan bunyi yang unison (not yang sama tapi oktaf yang berlainan)

Untuk tuning yang mudah, cepat dan tepat, anda perlu kenal pasti terlebih dahulu di mana letaknya nada not muzik yang hendak dicari. Sebagai contoh untuk not F, bunyi untuk not E dalam octave yang sama lebih rendah dan bunyi not G lebih tinggi. Jangan takut. Bunyi penerangan ni memang macam susah. Tapi kalau cuba tune nanti boleh faham konsep ini.

Kebolehan mengenal tinggi dan rendah sesuatu nada adalah sesuatu yang amat sukar diajar walaupun secara berdepan kerana ia 10% teori dan 90% gerak hati. Yang penting – perbanyakkan latihan.

41 thoughts on “Panduan asas tune gitar : Cara yang mudah dan susah”

  1. aku lg best…leh main lagu..mcm slow rock..tp..aku sebenarnya x reti ikut kod…aku blajar main gitar..ikut pergerakan tgn & bunyi tone lagu je…1 kod aku x tau..

    1. sabrium.. same ah kite.. aku pn kurang kenal chord guitar.. aku dh boleh main lagu Another You walau pn x perfect.. tp bini aku dgr aku petik lagu tu puas hati gak ah.. hehehe..

  2. salam bro zarul.. nak tanyalah, dalam berGitar ada teknik2 sweep picking, arpeggio dan triad..persoalannya, ape bende tuh

    Dan soalan kedua, saya nak blajar goreng la, cmne eh…goreng yang laju tu, yang bunyi melodi xde sgt, seolah2 die main petik je. faham kan??

    1. Sweep picking adalah salah satu teknik solo pantas, perlukan banyak latihan. Arpeggio adalah apabila tali dipetik menggunakan not-not dalam satu kod, dan Triad pula adalah kod mudah hanya menggunakan kombinasi 3 not.

      Solo pantas perlukan banyak latihan dan kesabaran. Bukan semua orang boleh buat dalam masa yang singkat.

    1. Bro.klo xnk sakit jari mse tekn tali tu just rendah kn tali tu.kikis kat holder tali tu.tp jgn rndah sgt nnt kne bar gitar plak.

  3. ingat aku tak??….masa kat skolah karai dulu…haa..haa…baru nak blajar main gitar…dh tua plak tu…tolong la bagi nota2 yang bagus kat aku,….tq..sifu……

  4. harmonic tu plak cmne??adakah semua gitar electric tak boleh hasilkan harmonic..??adakah gitar yg baik sahaja dapat menghasilkan harmonic dari semua frets??dan macam mana cara nak petik gitar untuk menghasilkn bunyi harmonics tu..??hhuhu 4 soalan tu..harap2 abg zairul jwb…

    1. Harmonics adalah teknik petik tali menghasilkan bunyi yang overtone.

      Semua gitar boleh hasilkan harmonics.

      Tidak semua fret boleh harmonics.

      Sentuh tali pada bahagian atas fret, petik dan lepas.

  5. nak tune pakai g string tu…tp aku x paham lg berapa tension kat setiap tali tu…..jadila gitar aku kejap bunyi begema mcm gajah kejap lg bunyik mcm ungka merengek pn ada…=)

  6. Salam bro zairul.nk tnya ni.kod gitar kapok sme x ngn kod gitar akustik?sbb tune gitar kapok ngn akustik lain kn?

    1. Gitar kapok jadi popular kerana gitar jenama “Kapok”, sama seperti jenama Gibson, Fender, Yamaha etc. Banyak gitar lain yang mempunyai bentu sama seperti kapok, tetapi jenama lain dan masih dipanggil gitar kapok. Gitar kapok yang dibuat dari kayu tanpa pikap, adalah kategori gitar akustik.

      Semua tune gitar yang standard adalah sama, tak kira elektrik atau akustik.

Leave a Reply