Koleksi tab dan sheet music..

Beberapa tahun dulu aku ada beli banyak tab dan sheet music dari pelbagai genre, rock, pop, ballad etc. Semasa mengemas rumah untuk buang barang-barang lama semalam aku terjumpa koleksi harta karun yang aku suka..

Apa tab atau sheet music yang anda pernah beli?

Panduan asas tune gitar : Cara yang mudah dan susah

Di bawah ini adalah contoh soalan dari mereka yang mula berjinak-jinak dengan alam pergitaran;

– Macam mana nak tuning gitar?
– Ada tak cara mudah tune gitar kapok?
– Kenapa tune bunyi sumbang dan sengal?
– Nak tune gitar tapi takut tali putus
– Bagaimana nak tahu tuning gitar tu betul atau tak?

Aku dah cuba cari artikel dalam bahasa Melayu berkenaan topic ini. Ada, tapi tak cukup lengkap. Ada yang separuh jalan, ada yang terlalu ringkas sampai susah nak faham. Berpuluh-puluh komen dari pelawat Zairul.com bertanya cara untuk tune gitar. So untuk memudahkan para beginner dan memudahkan aku daripada menjawab soalan untuk setiap email yang datang, aku harap dengan adanya tutorial atau panduan asas tuning gitar ini dapat membantu semua.

Sebelum belajar asas tuning, aku syorkan baca artikel Asas Muzik terlebih dahulu, terutama sekali jika anda langsung tidak ada pengetahuan asas dalam muzik. Kalau memang sudah kenal dengan konsep turutan tone Do-Re-Mi.. atau C-D-E.., boleh membezakan antara not atau kod # (baca=SHARP) dan b (baca=FLAT), anda boleh sambung terus baca artikel ini.

Alat yand diperlukan.

Sebagai permulaan, adalah lebih mudah jika ada tuner sebagai bantuan. Tuner ada dalam pelbagai bentuk, elektronik dan bukan elektronik seperti piano, pitch pipe, tuning fork atau guitar tuner itu sendiri. Dibawah ini adalah beberapa contoh guitar tuner yang ada di pasaran.

   

  1. Qwik Tune QT1 – Tuner gitar mudah, ada fungsi tuning auto dan manual, menangkap bunyi dari pikap terus melalui kabel jack atau melalui mic yang ada pada tuner untuk tune gitar akustik.
  2. Korg Guitar/Bass Tuner GA-30 – Selain fungsi yang ada pada QT1, tuner ini boleh diguna untuk julat frekuensi gitar dan bass.
  3. Boss TU-3 Chromatic Pedal Tuner – Seperti tuner biasa tuner boss sering dipakai oleh musician amatur dan professional, dipasang antara gitar elektrik dan amp atau effect lain, semasa ingin tune gitar sahaja pedal dimatikan, dengan cara ini signal dari gitar hanya akan dibaca oleh tuner dan tidak keluar pada amp tanpa perlu cabut kabel jack – sesuai jika ingin membetulkan tuning gitar semasa live gig.

Tuning fork juga digunakan sebagai alat panduan untuk tuning gitar, hanya diguna oleh sebilangan pemain gitar akustik dan klasik. Ia dijual dalam beberapa frekuensi, kebiasaannya 440Hz (Tuning=A), dijadikan panduan bunyi untuk tune semua tali gitar – Pemain gitar yang sudah biasa boleh tune gitar dengan hanya berpandukan pada satu bunyi asas.

Aku tidak meletakkan harga pada contoh di atas kerana tuner gitar bukan barangan kawalan. Harga berubah mengikut tempat dan gambar di atas juga mungkin bukan produk terkini atau mungkin sudah tidak dijual pada masa anda membaca artikel ini. Ia cuma memberi idea apa contoh tuner yang ada.

Bagi pengguna iPhone/iPad dan Android, aplikasi guitar tuner percuma dan berbayar boleh didapati pada Appstore atau Android Market (Pengguna android boleh merujuk kepada artikel bertajuk 3 aplikasi android percuma terbaik untuk pemain gitar tegar untuk maklumat aplikasi tune gitar).

Blackberry juga ada menyediakan aplikasi berbayar di App World. Walaupun aplikasi untuk smartphones ini hanya terhad kepada penggunaan mic dan bukan terus dari kabel, tidak ada beza yang ketara jika dibandingkan dengan penggunaan tuner khas gitar seperti dalam contoh di atas.

Jika anda tiada smartphone atau tidak mahu membeli guitar tuner, ada boleh rujuk kepada beberapa website yang menyediakan aplikasi tuner gitar secara percuma. Aku berikan beberapa contoh di bawah ini, dan sila maklum bahawa pautan laman web berkenaan mungkin tidak dapat diakses atau sudah bertukar alamat semasa anda membaca artikel ini.

Zairul.com tiada sebarang hubungan affiliate dengan website di atas.

Asas dan teknik tuning gitar.

Cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan guitar tuner. Tuning standard untuk gitar adalah E-A-D-G-B-E dari tali #6 hingga ke tali #1. Mulakan dengan memetik tali #6 tanpa tekan mana-mana fret dan bandingkan bunyi dengan level/nilai pada tuner sehingga jadi not E. Ulang cara yang sama untuk semua tali. Tiada fret yang perlu ditekan untuk method tuning cara ini.

Perlu diambil perhatian bahawa proses tuning gitar selalunya dilakukan berulang kali sehingga mencapai bunyi yang tepat. Tegangan tali yang semakin kuat semasa tuning akan menyebabkan neck gitar membengkok pada kadar yang sedikit tetapi cukup untuk membuatkan tuning kembali lari (out-of-tune). Masalah ini juga berlaku sekiranya tali baru ditukar. Yang penting ulang cara di atas sehingga tune kekal.

Turutan tali mana yang ingin ditune itu bergantung kepada kegemaran masing-masing. Secara peribadi aku lebih suka tune dari tali #5.

*Tanda bulatan pada nut menunjukkan not sekiranya tali dipetik dengan open string (tanpa tekan fret)
*Tanda bulatan pada fret menunjukkan not sekiranya tali dipetik setelah menekan fret berkenaan. 

Perhatikan gambarajah di atas, not pada fret ke-5 tali #6 adalah sama dengan tali #5 open iaitu A. Not pada fret ke-5 tali #5 pula sama dengan tali #4 open iaitu D dan seterusnya. Method tuning cara ini boleh dilakukan sekiranya anda sudah ada bunyi asas (sebagai contoh:E). Dengan adanya not asas, tune sambil menekan fret seperti rajah untuk mendapatkan tuning not pada tali yang seterusnya. Perhatian perlu diambil pada tali #2 (not B), iaitu bunyi yang sama adalah dari fret ke-4 pada tali #3. Petik tali #1 dan #6 pada masa yang sama dan ini akan menghasilkan bunyi yang unison (not yang sama tapi oktaf yang berlainan)

Untuk tuning yang mudah, cepat dan tepat, anda perlu kenal pasti terlebih dahulu di mana letaknya nada not muzik yang hendak dicari. Sebagai contoh untuk not F, bunyi untuk not E dalam octave yang sama lebih rendah dan bunyi not G lebih tinggi. Jangan takut. Bunyi penerangan ni memang macam susah. Tapi kalau cuba tune nanti boleh faham konsep ini.

Kebolehan mengenal tinggi dan rendah sesuatu nada adalah sesuatu yang amat sukar diajar walaupun secara berdepan kerana ia 10% teori dan 90% gerak hati. Yang penting – perbanyakkan latihan.

Aksesori gitar : Apa itu Capo?

Anda mungkin pernah jumpa ayat seperti “Capo:2” atau “Capo pada fret ke-3” semasa membaca tob/kod pada website tablature ataupun music score sheet. Tapi apa benda nya CAPO tu? Macam mana pulak nak sebut nya ni? KA-PO ke CHA-PO ke CAP – OWH?? Artikel ini akan menjawab kemusykilan anda berkenaan apakah itu capo.

Apakah itu capo atau capotasto atau capodastro?

Capotasto (dari bahasa Itali bermaksud ‘Head-Tie’) atau dipendekkan sebagai Capo (selalu dibaca sebagai KA-PO dalam melayu atau KAY-POE in english), adalah aksesori muzik yang diguna untuk memendekkan pitch dari nut ke saddle pada gitar, juga diguna pada sesetengah alat muzik bertali lain seperti mandolin dan banjo. Capo pada am nya akan menekan keseluruhan tali pada satu fret. Bagaimanapun ada jenis capo yang hanya menekan tali ke-2, ke-3 dan ke-4. atau tali ke-3, ke-4 dan ke-5 sahaja. Capo jenis ini selalu dipakai untuk banjo dan permainan akustik gitar secara fingerstyle.

Apakah matlamat penggunaan kapo?

Seperti yang dikatakan sebelum ini, dengan memasang capo di atas fret pada neck gitar, jarak pitch tali akan dipendekkan, bermakna anda boleh main kod yang tinggi dengan posisi jari pada kod yang lebih rendah. Sebagai contoh, jika anda meletakkan capo pada fret ke-2, anda boleh memainkan kod satu oktaf tinggi dari kod biasa. Rujuk gambar dibawah;

Gambar pertama dan kedua dari atas adalah  kod C dan D dengan posisi jari asal tanpa menggunakan capo. Gambar ke-3 pula adalah kod D dimainkan pada posisi jari yang sama dengan kod C setelah memasang capo pada fret yang kedua.

Bila masa yang sesuai menggunakan capo?

Berbalik kepada tujuan menggunakan capo, untuk memainkan kod tinggi dengan posisi kod rendah. Ada sesetengan lagu yang menggunakan kod separuh ton tinggi atau rendah dari kod major asas. Sebagai contoh Kod C#(atau Db)  adalah separa ton tinggi dari kod asas major C. Posisi jari untuk kod C# agak rumit dan sukar dimainkan terutama pemula gitar. Oleh sebab itu lebih mudah jika pemain memasang capo pada fret pertama dan boleh memainkan kod C# dengan posisi jari kod C. Dengan kata lain, jika anda boleh main 7 kod asas gitar, anda boleh main apa sahaja hampir semua kod yang ada semasa membaca tab atau music sheet.

Dari segi penjagaan dan jangka hayat gitar, aku lebih suka menggunakan capo, walaupun bukan bertujuan untuk memainkan kod tinggi. Apa maksudnya? Semasa latihan aku suka mengendurkan tali gitar satu oktaf lebih rendah – mengurangkan tegangan tali, boleh mengelakkan dari neck melengkung atau bridge keluar/rosak. Maksudnya tune gitar bukan dengan E-A-D-G-B-E, tetapi dengan D-G-C-F-A-D. Kemudian pasang capo pada fret kedua, dan boleh main dengan kod biasa. Dengan kata lain, capo juga berfungi sebagai pengganti kedudukan nut gitar.

Selain itu, ada juga genre atau tema lagu yang lebih sesuai dimainkan dengan kod pada oktaf yang lebih tinggi. Penggunaan capo dapat memudahkan permainan dan memberi mood kepada lagu.

Apakah jenis-jenis capo yang ada di pasaran dan berapa harganya?

Di  bawah ini ada ditunjukkan beberapa jenis capo yang biasa didapati di kedai muzik atau dari internet. Jangan tanya capo mana yang terbaik kerana ia subjektif. bagus atau tidak itu bergantung kepada jenis gitar dan kegemaran sendiri seperti design, berat, bentuk, bahan, harga etc. Harga capo juga berubah mengikut pasaran. Selalunya berharga dari RM10-100 mengikut jenis, jangka hayat dan jenama. Untuk pemula, jika tak pasti pilih harga yang berpatutan sekitar RM15-30. Anda boleh buat sendiri kalau tak mampu.

 
  

Contoh-contoh jenis capo mengikut turutan gambar.

  1. Dunlop elastic capo – antara yang termurah, tetapi getah mudah kendur jika kerap dipakai (jangka hayat 6 bulan – 2 tahun).
  2. Kyser quick-change capo – capo paling popular, sangat mudah dipasang dan tahan lama, tetapi kekuatan kemasan tidak boleh dilaraskan.
  3. Glider capo – kedudukan capo boleh dibuah dari fret ke fret lain dengan sangat mudah, tetapi spring besi boleh merosakkan finishing gitar terutama gitar yang mempunyai fret yang lebar, tidak sesuai dipakai pada gitar klasik dan perlu dipasang dengan berhati-hati.
  4. Shubb Deluxe S capo – mudah dipasang, kekemasan grip boleh diubah mengikut gitar, tetapi kelemahan capo ini adalah memerlukan masa semasa mengubah kedudukan fret kerana perlu laras kembali kekemasan grip terutama jika beza kelebaran neck gitar yang ketara.
  5. D’addario Planet Waves NS capo – tahan lama, kekemasan grip boleh laras semasa pemasangan, tetapi memerlukan masa.
  6. G7th Performance capo – sangat mudah dipasang dan dilonggarkan, digelar revolusi capo abad ke-21, tetapi harga yang agak mahal.

Capo di sebelah ini pula adalah ‘partial capo‘ buatan shubb. Seperti yang dicerita pada awal artikel, capo jenis ini digunakan untuk menekan tali ke 3, 4 dan 5 sahaja. Perhatikan bahagian getah atas yang agak pendek jika dibandingkan dengan capo biasa. Aku pernah main lagu dengan teknik fingerstyle menggunakan capo jenis ini. Mungkin kerana tidak biasa, jari selalu tersangkut dengan bahagian bawah (lock lever?) capo semasa mahu menukar kedudukan jari ke sebelah atas fret yang ditekan capo.

Semasa membuat rujukan di internet, aku ada terjumpa capo buatan sendiri. Anda juga boleh buat sendiri dirumah, hanya memerlukan sebatang pensel yang cukup panjang, dan beberapa keping getah bulat yang tebal. Rujuk gambar bawah, rasanya tak payah cerita pun boleh tahu macam mana nak buat : P

 

Apa yang perlu diambil kira semasa hendak membeli capo?

Capo dijual dalam pelbagai jenis, bentuk dan harga. Rujuk kembali contoh di atas sebelum membeli gitar. Perlu diingat juga walaupun kebanyakan capo dibuat dalam saiz universal, ada juga yang dijual hanya untuk jenis gitar akustik, elektrik dan klasik, kerana bahan dan saiz yang berbeza. Permukaan fretboard gitar klasik lebih rata (flat) berbanding akustik yang agak melengkung (curvy) sementara fret gitar elektrik lebih nipis. Jangan sampai salah pilih. Aku syorkan bawa gitar ke kedai, tanya penjual dengan baik sekiranya boleh dicuba memasang capo pada gitar sebelum membeli. Rasanya tiada masalah jika kedai ada sample atau capo tidak di’seal’ dalam pakej etc. Ada juga polisi kedai yang tidak membenarkan pelanggan mencuba barangan sebelum dibeli.

Selamat berjaya!

Panduan membeli (memilih) pik gitar

Artikel ini menunjukkan jenis-jenis dan kegunaan pik serta panduan membeli/memilih guitar pick yang sesuai dengan gitar atau genre muzik yang dimain. Semua maklumat yang ada pada artikel ini bertujuan sebagai panduan asas dan ringkas sahaja, tidak perlu dijadikan sumber utama pemain gitar. Sebarang pertanyaan atau kesilapan sila tinggalkan di ruang komen.

Image credit – J Fry
Pik gitar berguna sebagai plektrum untuk plucking atau strumming gitar. Selalunya berbentuk ‘tear drop’ atau segitiga, pik dijual dalam pelbagai saiz, tebal, bentuk dan bahan. Material yang diguna untuk membuat pik selalu nya dari jenis plastik (nylon, tortex etc.), besi, kayu, gelas, tortoise shell dll. Saiz pula selalu dijual dalam 3 saiz utama iaitu Light, Medium dan Heavy. Bergantung kepada jenis dan brand, saiz Extra Light dan Extra Heavy juga di keluarkan

Apakah beza semua pik gitar ini? Bukan kah lebih mudah jika ada satu jenis pik untuk semua gitar? Teknik, genre, jenis gitar, jenis tali, tempat gitar dimainkan misalnya adalah antara faktor kenapa berlainan jenis pik diperlukan.

  1. Light – Sesuai untuk permainan strumming, bunyi yang lebih soft, kurang merosakkan permukaan finishing body gitar, tetapi pik lebih mudah haus jika dimainkan pada tali gitar jenis medium atau heavy, bunyi lentik pik juga kedengaran jelas jika diguna pada gitar yang menggunakan pikap jenis bukan magnetic atau jika dihala mic (untuk gitar akustik)
  2. Medium – Paling popular, berguna untuk permainan lead, genre rock dan metal,  memberi lebih kawalan, tidak mudah haus berbanding pik jenis Light.
  3. Heavy – Lebih kawalan kepada permainan, bunyi dihasilkan lebih ‘bright’, selalu dimainkan pemain gitar jazz, pik tahan lama, tetapi tali mudah haus terutama tali y ang di’coating’ seperti elixir.

Dari segi cost-performance, bahan dari plastik paling kerap digunakan untuk pik. Ada juga gitaris yang berpendapat bahawa bahan ‘tortoise shell’ menghasilkan bunyi yang lebih jelas berbanding plastik dan metal, cuma harganya agak mahal dan sukar didapati. Selalunya bahan tortex dijadi sebagai ganti memandangkan ia paling mirip dengan tortoise shell.

Gambar dibawah adalah contoh beberapa jenis pik dalam pelbagai saiz dan bentuk.

Pik senang jatuh? Tak cukup grip? Kalau begitu pakai ‘thumb pick’, pik jenis ini diselitkan pada ibu jari, tidak mudah jatuh walaupun dengan grip jari yang lemah. Cuma pik jenis ini jarang dipakai untuk tempoh permainan yang lama kerana grip pik pada jari menyebabkan senang lenguh. Pik jenis ini juga ada pelbagai saiz dan bahan.

Pik mana yang sesuai? Cadangan dari aku? Sila cuba pelbagai jenis dan bahan pik. Dari situ anda boleh kenal sendiri apa jenis pik yang sesuai dengan gitar dan genre muzik anda.

Kenali nama bahagian utama gitar

Di dalam artikel ini ada disediakan nama bahagian-bahagian utama untuk gitar akustik dan elektrik. Untuk acoustic guitar aku guna contoh dari Takamine cutaway model, dan untuk electric guitar aku ambil contoh dari Fender stratocaster. Ada antara bahagian, kedudukan atau saiz yang mungkin agak berbeza dengan gambar di bawah ini, tapi secara keseluruhan ini adalah antara yang paling umum.

Untuk pemula, dengan mengenal bahagian-bahagian gitar seperti fret, nut, neck, bridge ini diharap dapat membantu anda semasa memilih untuk membeli gitar seperti yang aku pernah ceritakan di artikel Panduan Membeli Gitar.

Klik gambar untuk paparan lebih jelas.

Guitar Parts (Nama bahagian gitar)

Teori Asas Muzik (1) – Mengenal tone, note dan scale

Teori asas muzik tidak boleh dipandang remeh dalam pembelajaran gitar. Anda memang boleh terus pegang gitar, ingat posisi kod dan terus mainkan lagu. Tapi untuk cari kod lagu, nak main solo part, anda perlu tahu sekurang-kurangnya asas kepada teori muzik.  Tutorial kali ini akan menerangkan perkara paling asas dalam muzik iaitu tone, note dan scale, sebelum boleh masuk ke asas kod.

*PERINGATAN : Tutorial ini adalah ringkasan dari teori muzik yang sebenar, supaya mudah difahami pembaca. Jika anda mengambil jurusan muzik, sila rujuk buku teori muzik di kedai buku atau perpustakaan berhampiran. Zairul .com tidak bertanggungjawab atas ketidaklulusan anda akibat dari membaca artikel ini.

Rujuk gambarajah piano di atas.

Ada 12 nada dalam satu kitaran not muzik iaitu 7 nada paling asas dalam muzik iaitu dalam note C, D,E, F, G, A dan B (atau DO, RE, MI, FA, SO, LA dan TI ; DO=C, RE=D dan seterusnya) serta 5 nada yang terletak di antara C-D, D-E, F-G, F-A dan A-B.  Jarak dua not muzik yang berdekatan dipanggil semi-tone atau half-tone. Oleh itu seperti gambar di atas, jarak dari E ke F dikira sebagai semi-tone, dan jarak dari C ke D dikira sebagai “whole tone” atau “full tone”. Jarak dari B ke C juga dikira sebagai whole tone.

* C# dan Db adalah not yang sama. Kod # (baca: SHARP) bermaksud half-tone di atas, dan b (baca:FLAT) bermaksud half-tone di bawah.

Satu kitaran not muzik dari C ke B dipanggil octave. Octave tidak semestinya bermula dengan C.  Jika ia bermula dengan C, ia dipanggil nada dalam key C. Jika ia bermula dengan F dipanggil nada dalam key F. Tahukah anda bahawa julat vokal Mariah Carey adalah 5 octave? Berapa julat vokal (vocal range) anda?

Ada 2 scale asas music, major dan minor. Apa kombinasi not untuk key major atau minor? Gunakan teori seperti rajah di atas. Kita ulang balik kitaran untuk satu octave;

Rajah di atas adalah major scale dalam key note C. Nombor di atas note adalah kiraan jarak. Dengan cara yang sama, cuba anda cari kombinasi note untuk major scale dalam key note E.

Rajah di atas pula adalah minor scale dalam key note A. Cuba anda cari minor scale dalam key Db.

Sekian dahulu teori asas muzik kali ini, artikel seterusnya akan menyusul di Zairul.com.

Aplikasi pemain muzik android terbaik – PowerAmp App Full/Trial

Anda pengguna android? Sedang mencari aplikasi pemain muzik yang lebih baik untuk menggantikan pemain default? Aku syorkan anda mencuba aplikasi PowerAmp. Aplikasi ini adalah antara aplikasi berbayar terbaik dari android market. Dalam artikel ini akan ditunjukkan beberapa fungsi menarik yang ada pada PowerAmp.

*APLIKASI INI SENTIASA DIKEMASKINI DARI SEMASA KE SEMASA. SILA RUJUK KE LAMAN WEB RASMI POWERAMP di poweramp.com UNTUK MUAT TURUN DAN MAKLUMAT FUNGSI TERBARU.

*Klik untuk gambar yang lebih besar.

Ada 3 butang utama pada PowerAmp iaitu [FOLDERS], [PLAYER] dan [LIBRARY]. Jika fail muzik anda diasingkan mengikut folder, nak mencari lagi lebih senang jika klik pada FOLDER. Klik pada butang PLAYER untuk terus buka lagu yang sedang dimainkan. Di sini pengguna boleh akses butang Play, Forward/Return Song/Track, Repaet, Shuffle dan sebagainya. Paparan juga akan berubah mengikut layout android jika dipusing secara horizontal.

Klik [menu] pada android device, pengguna boleh akses pelbagai tool tambahan seperti tambah ke Playlist, jadikan mp3 sebagai Ringtone, tengok info mp3 dll. [Set As Ringtone] adalah antara fungsi kesukaan aku. Tak perlu membazir duit untuk membeli versi ringtone untuk lagu dari CD, mp3 etc yang kita sudah ada. Semua lagu yang ada dalam android boleh dijadikan ringtone dengan mudah menggunakan PowerAmp.

LIBRARY pula akan menyenaraikan lagu mengikut tag. Pengasingan lagu mengikut album, artis, dan genre akan dilakukan secara automatik semasa installation. Apapun ini bergantung kepada tag yang ada diisi dalam fail muzik asal.  Di bawah menu Library, pengguna boleh pilih untuk memaparkan lagu dari susunan album, artis dan genre.

Sebab utama aku mencari pemain muzik alternatif untuk android adalah sebab tidak cukup puas hati pada kualiti bunyi yang ada pada pemain default. Untuk sesetengah lagu, bunyi mid-tone dan higher tone agak tenggelam. Fungsi Equalizer diperlukan untuk mengawal tone bunyi yang dikeluarkan pada setiap lagu agar tidak jadi kering dan “cheap”. Berita baik dari PowerAmp, anda boleh buat lebih dari itu. Dengan adanya fungsi built-in equalizer ini, anda boleh menggunakan beberapa preset yang ada. Lebih baik, pengguna juga boleh buat Custom Setting untuk diaplikasi pada sesuatu lagu, atau semua lagu dan boleh disimpan di dalam data untuk boleh diedit. Satu lagi, gunakan analog-like button, pusing mengikut pusingan atau lawan jam untuk mengawal tone bass, trebel dan volume. Pengguna mungkin merasakan seperti mengguna nob volume analog walaupun sebenarnya level dikawal secara digital – sesuatu yang pasti menggembirakan buat peminat peralatan analog.

Di bawah ini adalah antara setting tambahan yang ada pada PowerAmp.

Satu lagi fungsi yang menarik adalah kebolehan PowerAmp untuk pasang/tutup lagu apabila headset disambung ke android. Ini sangat menjimatkan masa. Untuk off PowerAmp, cabut headset dan PowerAmp akan tutup secara automatik. Hebat kan? Fungsi scrobble juga dimasukkan dalam versi terkini. Setiap lagu yang dimainkan akan disambung ke Last.fm atau Droid. Untuk menggunakan fungsi ini sambungan WiFi atau unlimited data plan digalakkan. Lebih baik, aktifkan fungsi sleep timer supaya player ditutup secara automatik selepas tempoh masa tertentu. Ini dapat menjimatkan bateri sekiranya pengguna terlupa menutup aplikasi.

Setting untuk skrin lock juga boleh dibuat. Akses ke PowerAmp dibolehkan jika android dalam keadaan lock. Selain itu, sehingga kini ada 4 jenis tema yang boleh dipilih mengikut kesukaan pengguna.

Widget tambahan boleh di muat turun melalui market dengan nama [PowerAmp Standard Widget Pack]. Ada 3 widget disediakan dengan saiz 4×1, 4×2 dan saiz penuh.

 

Anda boleh muat turun PowerAmp versi Trial (guna secara percuma selama 15 hari). Aku beli PowerAmp selepas hanya 3hari menggunakan aplikasi ini. Memang puas hati. Harganya hanya USD$4.99, boleh dibeli terus melalui android market atau secara terus (muat turun fail *.apk selepas bayaran). Untuk pembayaran yang dibuat secara terus, anda boleh mengaktifkan bersama akaun google pada android selama 10 kali. Permohonan pengaktifan tambahan boleh dibuat dengan menghantar email kepada pembangun aplikasi.

Anda memang sudah jadi pengguna PowerAmp? Apa komen anda tentang aplikasi ini?

3 aplikasi android percuma terbaik untuk pemain gitar tegar

Anda pengguna android? Tahniah kerana dalam artikel ini aku nak promo 3 aplikasi terbaik untuk guitarist. Yang paling best, semua adalah percuma! Kita ni memang pantang benda free.

Kat bawah ni aku syorkan 3 aplikasi android pilihan aku sendiri yang aku fikirkan dapat menolong terutama kepada yang baru nak berjinak-jinak dengan alam pergitaran. Kenapa 3 apps di bawah? Kerana;

1. Free.
2. Membantu step pembelajaran gitar untuk beginner.
3. Aku dah pakai sendiri dan banyak membantu aku jugak.

Mungkin ada apps lain di android market yang percuma dan berbayar, dan lebih sesuai untuk setiap orang selepas artikel ni dibuat. Kalau ada cadangan yang lebih baik, sila tinggalkan mesej diruang komen, boleh dikongsi bersama pengguna lain. Terima kasih.

1. Untuk tune gitar – Tuner – gStrings Free

Ini adalah aplikasi wajib untuk semua gitaris kalau anda tak ada Perfect Pitch. Guna gstrings untuk tune gitar dengan dua cara, [Tune Auto], maknanya anda mainkan tali dan gstring akan bagitau apa not yang dimain, atau cara [Tune Sound], di mana gstrings akan mainkan not dan anda boleh tune gitar supaya not nya jadi sama.

Aku dah try dua-dua cara dan dua-dua tak ada masalah. Yang best lagi, gstrings ni dibuat bukan untuk tune gitar sahaja. Ia juga sesuai untuk violin, viola, violoncello, doubelbass dan ukulele. Pastikan selepas install apps, pergi ke Settings >> Optimize For, dan pilih ‘Guitar 82.4-329.6Hz’ untuk pilihan tune frequency range untuk gitar.

Fungsi tambahan lain seperti boleh pilih skin color, pilih sensitivity mic, pilihan untuk advance user seperti orchestra tuning options, HPS depth, Tampering Functions juga ada. Sila rujuk official website untuk panduan penuh.

Screenshot;

Aplikasi yang dibangunkan oleh Cohortor ini ada dua versi iaitu Free dan Full version. Kedua-dua apss ini mempunyai fungsi yang sama kecuali Full version tak tunjuk ads pada apps mereka.

Untuk download, boleh baca qr code, klik link (kalau terus dari android anda) di atas atau pergi ke market, dan cari keyword [gstrings].

2. Untuk cari kod – Basichords

Basichords sangat membantu untuk aku cari kod. Ada lebih dari 2000 posisi untuk semua kod yang ada dan nak cari dia sangat senang. Basichords ni boleh pakai untuk cari kod pada Guitar, Ukulele, Bouzouki, Cavaquinho dan Mandolin. Ya, juga berita baik untuk left-handed guitarist, cara nak main kod macam Man Kidal pun ada tunjuk kat sini.

Tekan kod, dan pilih kombinasi fingering pada sebelah kanan. Basichords akan mainkan kod dan tunjuk finger mana nak petik pada tali mana, fret mana. AMAT SESUAI UNTUK BEGINNER. Anda dapat belajar 3 dalam satu kalau guna aplikasi ini.

Screenshot;

Basichords adalah aplikasi android percuma yang dibangunkan oleh Tekartik dengan sokongan iklan. Kalau nak ads free version, boleh beli Tekachords di android market.

Untuk download, boleh baca qr code, klik link (kalau terus dari android anda) di atas atau pergi ke market, dan cari keyword [basichords].

3. Untuk latihan beat timing – Mobile Metronome

Mengenal ‘beat’ atau ‘tempo’ adalah antara perkara penting dalam muzik. Ramai juga yang ingin belajar gitar, tetapi tak boleh memberikan ‘beat’ yang betul. Menggunakan metronome adalah salah satu cara memperbaiki ‘tempo’ dan rhythm.

Nak pakai apps ni pun mudah, gunakan butang [+] atau [-]  atau gunakan slider untuk pilih tempo yang dikehendaki. Kalau nak tahu tempo sesuatu lagu misalnya, tekan dengan tempo beat yang sama pada button [or tap tempo here]. Mobile Metronome akan tunjukkan apa tempo yang paling tepat. Time signature, jenis bunyi etc juga boleh dipilih pada panel yang sama.

Aplikasi ini dibangunkan oleh Gabriel Simoes dengan sokongan paparan iklan, mempunyai dua versi, Free dan Pro.  Kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama kecuali Pro boleh dibuka tanpa iklan di sebelah bawah.

Untuk download, boleh baca qr code, klik link (kalau terus dari android anda) di atas atau pergi ke market, dan cari keyword [mobile metronome].


So, apa tunggu lagi, sila download ketiga-tiga apps di atas dan aku yakin ketiga-tiga apps berkenaan dapat membantu anda lebih mendalami dunia muzik dan gitar.

Panduan menukar tali gitar akustik


Dalam artikel bertajuk Panduan Membeli (Memilih) Tali Gitar, aku ada nyatakan yang tali gitar perlu ditukar setiap 4-5 minggu untuk menjaga kualiti bunyi gitar dan elok dari segi penjagaan gitar. Tapi untuk beginner yang baru berjinak-jinak ke alam pergitaran, tidak ramai yang pasti cara menukar tali gitar  itu sendiri. Untuk tutorial kali ini aku akan tunjukkan cara nak tukar tali gitar akustik atau kapok. Perlu diambil perhatian bahawa cari menukar tali gitar elektrik dan gitar klasik agak berbeza dengan gitar akustik, walaupun hampir sama. Cara-cara berserta gambar yang ditunjukkan di bawah ini juga bukanlah cara yang paling terbaik cuma diharapkan dapat membantu terutama beginner.

Panduan membeli (memilih) tali gitar


Perkara yang selalunya tak dititik berat dalam penjagaan gitar adalah dari segi pemilihan tali gitar (guitar strings) itu sendiri. Ramai yang tidak menyedari bahawa jenis string AMAT mempengaruhi kekuatan bunyi gitar dan kelancaran jari guitarist. Cuma masalah di antara kita, bagaimana untuk mengetahui apa jenis tali gitar yang sesuai untuk gitar kita?

Untuk sesi tutorial/panduan ringkas kali ini aku senaraikan 4 faktor yang perlu diambil kira, serta langkah-langkah atau tips untuk memudahkan korang pilih tali gitar yang sesuai. Ini hanyalah sebagai rujukan berdasarkan pengalaman sendiri dan tidak semestinya cara yang terbaik. “Trial and error” adalah cara terbaik untuk mengenal pasti jenis tali yang paling sesuai untuk gitar anda.